am@hmetro.com.my

Tuaran: Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di negeri ini tidak mematahkan semangat pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 4/2026 untuk hadir melapor diri di Pusat Latihan RELA Negeri Sabah, Gayang di sini, hari ini.

Malah, ada yang sanggup memulakan perjalanan seawal jam 2 pagi demi tidak melepaskan peluang menyertai program itu.

Bagi Nurhakim Asirun, 18, perjalanan jauh dari Batu 3, Sandakan ke pusat latihan bukan halangan untuk mengejar cita-citanya menjadikan bidang ketenteraan sebagai kerjaya pada masa depan.

Anak muda itu berkata, dia bersemangat dan tidak sabar sebaik menerima tawaran menyertai PLKN 3.0 menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), malah sejak tamat persekolahan menengah giat melakukan latihan fizikal sebagai persediaan untuk merealisasikan impiannya menjadi anggota tentera.