BRASÍLIA: Pendakwa raya Brazil memfailkan saman terhadap anak syarikat gergasi minyak Shell di negara itu, menuntut pampasan AS$108 juta (RM441 juta) berhubung bencana banjir yang meragut hampir 200 nyawa pada 2024.
Saman itu yang disifatkan sebagai belum pernah berlaku sebelum ini, difailkan semalam susulan banjir besar di selatan Brazil pada April dan Mei 2024 yang menyebabkan kira-kira 500,000 penduduk hilang tempat tinggal dan kerosakan besar.
Berdasarkan dokumen mahkamah, liabiliti Shell perlu ditentukan berdasarkan sumbangannya terhadap pemanasan global yang dianggarkan menyumbang dua peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah hijau global sejak sejarah perindustrian bermula.
"Saman sivil ini bertujuan memastikan syarikat defendan bertanggungjawab terhadap kewajipan alam sekitar dan iklimnya berhubung kerugian material dan moral yang dialami masyarakat susulan kejadian cuaca ekstrem yang melanda negeri Rio Grande do Sul," kata pendakwa raya dalam dokumen mahkamah yang dilihat AFP.








