KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nadeera Zaini, mengakui rupa paras dan ciri fizikal turut menjadi antara perkara yang dinilai dalam industri seni, selain bakat, termasuk kemampuan vokal.

Nadeera, 33, berkata, perkara itu bukan sekadar tanggapan kerana beliau sendiri pernah berdepan situasi dinilai berdasarkan penampilan fizikal sepanjang membina kerjaya sebagai anak seni.

Katanya, walaupun bakat sepatutnya menjadi keutamaan, realiti industri hiburan menuntut seseorang artis berdepan penilaian daripada pelbagai sudut.

"Sejujurnya, berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya pun pernah dinilai berdasarkan ciri fizikal dan rupa. Secara peribadi, saya kena akui dalam industri seni ini, orang bukan mahu dengar bakat kita semata-mata, tetapi mereka juga melihat daripada segi fizikal," katanya kepada BH Online.