Kuala Lumpur: Bomba FC melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-104 buat kali pertama selepas menewaskan Negeri Sembilan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti pada aksi final di Arena Universiti Malaya (UM), malam tadi.
Kejayaan itu hadir selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit permainan sebelum Bomba FC lebih tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk menjulang trofi pertandingan bola sepak tertua di Malaysia itu.
Lebih manis, kejayaan berkenaan turut mengubati kekecewaan Bomba FC yang terpaksa berpuas hati sebagai naib juara pada edisi 2024 selepas tewas 1-2 kepada MySPRM-ACeIO.
Pengendali pasukan Bomba FC, Mazerul Mohd Mohayudin berkata, kejayaan itu hasil kerja keras pemainnya sepanjang kejohanan.








