SIBUK dengan aktiviti kampus tidak menjadi penghalang buat tiga penuntut universiti awam ini untuk mengekalkan prestasi cemerlang dalam akademik.

Aktiviti kampus menjadi tempat untuk mencuba perkara baharu demi menimba pengalaman yang boleh membantu mereka di masa akan datang.

Naib Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Aiman Durrani Osman, 22, berkata, dia mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan jadual harian yang penuh dengan aktiviti kampus.

"Disebabkan aktiviti kampus yang banyak seperti perjumpaan, menguruskan program dan tugasan pensyarah, ia memberi cabaran buat saya pada awalnya untuk membiasakan diri dengan jadual yang padat.