Hari ini rakyat Malaysia banyak dikejutkan dengan isu jenayah dalam kalangan anak muda. Keadaan ini amat membimbangkan semua ibu bapa. Ini kerana dunia moden menawarkan pelbagai kemudahan kepada manusia, namun pada masa sama turut membawa cabaran besar terhadap pembentukan akhlak dan keperibadian anak-anak. Kemajuan teknologi digital, pengaruh media sosial, budaya hedonisme, buli siber, ketagihan permainan dalam talian, pornografi, penyalahgunaan dadah dan pergaulan tanpa batasan adalah antara isu yang membimbangkan ibu bapa serta masyarakat.

Persoalan penting yang kita perlu ambil tahu ialah bagaimanakah kita dapat melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, malah mempunyai kekuatan iman, kematangan emosi dan keteguhan akhlak? Dalam konteks ini, al-Quran perlu dijadikan panduan utama dalam mendidik dan menyelamatkan anak-anak daripada terjerumus dalam masalah sosial zaman moden.