PERUNTUKKAN RM15 juta oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memperluas pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 1,000 sekolah tahun depan menjadi langkah kritikal mengoptimumkan penggunaan teknologi dalam usaha meningkatkan keselamatan warga sekolah, terutama ketika kebimbangan umum semakin meningkat ekoran kejadian buli, jenayah dan pelbagai salah laku generasi harapan negara.

Bagaimanapun, keberkesanannya tidak diukur berdasarkan jumlah kamera dipasang semata-mata, sebaliknya sejauh mana teknologi benar-benar mampu mencegah kejadian berkenaan. Hakikatnya, membangunkan sistem CCTV seperti ditegaskan pakar yang disiarkan dalam Soal Jawab BH Ahad, semalam, bukan semudah membeli kamera melalui platform e-dagang dalam talian, kemudian memasangnya di koridor, tangga atau pintu pagar sekolah. Ia memerlukan ekosistem keselamatan menyeluruh bermula mengenal pasti kawasan berisiko, penyelenggaraan peralatan, pengurusan rakaman hingga menyediakan petugas memantau serta bertindak pantas apabila ancaman dikesan.