KUALA LUMPUR: Daripada simpanan persaraan bernilai RM100,000 hingga perlindungan insurans dan pakej pengajian ijazah sarjana, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, memilih hantaran yang melangkaui kebiasaan sebagai tanda kasih buat isteri, Bella Astillah.
Bagi Syed Saddiq, 34, hantaran itu bukan sekadar simbolik menyempurnakan adat perkahwinan, sebaliknya lambang komitmen membina kehidupan bersama yang lebih terjamin, dengan pendidikan, kesihatan dan kestabilan kewangan menjadi antara keutamaan.
Beliau berkata, kehidupan berumah tangga bukan hanya berkisar pada kebahagiaan, malah menuntut persediaan menghadapi pelbagai cabaran dan ujian yang mungkin mendatang.
Justeru, perancangan awal perlu dilakukan supaya mereka lebih bersedia mengharungi masa depan, termasuk ketika berdepan ketidaktentuan dari sudut kewangan dan kesihatan.








