MELAKA: Maklumat tular yang mendakwa Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) Tingkatan Satu di Melaka ditangguhkan adalah tidak benar, sebaliknya ia diteruskan mengikut jadual bermula hari ini hingga 22 Oktober ini.
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata Jabatan Pendidikan Melaka meneruskan pelaksanaan PKSK mengikut tarikh dan sesi ditetapkan, tertakluk kepada situasi jerebu semasa serta arahan keselamatan yang berkuat kuasa.
Justeru, katanya, semua calon perlu hadir mengikut tarikh, masa dan pusat pentaksiran yang ditetapkan sebagaimana tertera pada slip menduduki pentaksiran masing-masing.
Beliau berkata, semua pusat PKSK hendaklah memastikan persediaan dan pengoperasian berjalan lancar dengan mengutamakan keselamatan serta kesihatan calon dan petugas.








