Melaka: Maklumat tular yang mendakwa Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) Tingkatan 1 di Melaka ditangguhkan adalah tidak benar, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka sebaliknya meneruskan PKSK mengikut jadual bermula hari ini sehingga 22 Oktober, dengan tertakluk kepada situasi jerebu semasa serta arahan keselamatan yang berkuat kuasa.
Rahmad berkata, semua calon perlu hadir mengikut tarikh, masa dan pusat pentaksiran yang ditetapkan seperti tertera pada slip menduduki pentaksiran masing-masing.
Katanya, semua 18 pusat PKSK hendaklah memastikan persediaan dan pengoperasian berjalan lancar dengan mengutamakan keselamatan serta kesihatan calon dan petugas.









