Dungun: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Roslee Daud meninggal dunia di Hospital Dungun pada 5.30 pagi tadi.

Allahyarham yang juga bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu menghembuskan nafas terakhir pada usia 66 tahun akibat sakit jantung.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai ADUN Bukit Besi selama dua penggal bermula Mei 2013 hingga Ogos 2023, mewakili Barisan Nasional (BN) menerusi UMNO.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam pentadbiran negeri, Allahyarham pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Terengganu.