KUALA LUMPUR – Dua anggota polis yang didakwa dikasari Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, membuat laporan polis tambahan pada Sabtu bagi mengemukakan keterangan baharu untuk membantu siasatan.Peguam yang mewakili dua anggota polis, Kamal Hisham Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, laporan tambahan itu dikemukakan kepada polis bagi menyalurkan maklumat yang dianggap penting berhubung kes berkenaan."Kami berpandangan bahawa terdapat fakta-fakta material dalam kes ini yang menjurus kepada kemungkinan telah berlakunya kesalahan-kesalahan (termasuk tetapi tidak terhad kepada) di bawah Seksyen 186, 323, 353, 355 dan/atau 506 Kanun Keseksaan."Kami menyerahkan sepenuhnya siasatan kes ini kepada polis dan Jabatan Peguam Negara untuk menilai serta membuat keputusan dalam kes ini demi kepentingan keadilan semua pihak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Dalam pada itu, pihak peguam turut mengesan penyebaran beberapa kenyataan tidak benar oleh orang ramai yang menyasarkan anak guam mereka serta firma guaman terbabit."Antara dakwaan yang disifatkan tidak benar itu ialah kononnya kos guaman kedua-dua anggota polis berkenaan dibiayai sindiket jenayah yang didakwa berada di belakang mereka," katanya.Menurutnya, pihak peguam menghormati hak kebebasan bersuara seperti yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan, namun hak berkenaan bukanlah kebebasan mutlak."Sebarang kenyataan tidak benar itu boleh disiasat pihak berkuasa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.Sehubungan itu, pihak peguam memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya terhadap mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan tidak benar berkenaan melalui saman sivil di mahkamah.Pada 28 September lalu, tular video memaparkan seorang lelaki yang kelihatan seperti Mohd Shuhaily memarahi seorang individu di KLIA.Susulan itu, pada 1 Oktober lalu, Mohd Shuhaily menyatakan kesediaan menerima apa-apa sahaja keputusan atau tindakan.Semasa sidang akhbar, beliau berkata, tidak mahu KLIA menjadi seperti Selayang dan bebas daripada kegiatan ‘ulat’ warga asing.