Johor Bahru: "Agak terkejut dan terkilan juga kerana ini kali pertama kami sekeluarga merancang menunaikan umrah, namun saat menunggu hari untuk berangkat, ada pula ujian yang perlu kami hadapi."
Itu luahan Muhd Qusyairi, 26, yang tidak dapat menyembunyikan rasa terkilan apabila perjalanan umrah bersama keluarganya terjejas susulan pergolakan di Arab Saudi.
Menurutnya, mereka sekeluarga sudah membuat persiapan lengkap dan hanya menunggu masa untuk berlepas sebelum dimaklumkan agensi umrah mengenai situasi di negara berkenaan pada jam 9 pagi tadi.
Katanya, mereka mengambil masa untuk menerima kenyataan itu memandangkan sudah lama menghitung hari untuk menunaikan ibadah berkenaan.








