Kuala Lumpur: Deretan kereta buruk dibiarkan berbulan-bulan, malah bertahun di tepi jalan dan kawasan perumahan bukan hanya mencacatkan pemandangan sebaliknya menjadi masalah berpanjangan kepada penduduk serta menuntut tindakan tegas pihak berkuasa tempatan (PBT).

Di sebalik kenderaan ditinggalkan tanpa pengawasan itu, tiga PBT di Lembah Klang merekodkan keseluruhan 27,117 kenderaan tersadai berdasarkan rekod bagi tempoh berbeza sejak 2021 hingga Ogos tahun ini.

Jumlah itu membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), dengan MPKj merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 12,290 kenderaan, diikuti DBKL sebanyak 11,001 aduan dan MPAJ sebanyak 3,826 kenderaan.