KOTA BELUD: Seorang warga emas ditemukan meninggal dunia dengan jala tersangkut pada badannya di sungai Kampung Rajunah, di sini, pagi tadi.

Mangsa, Togoi Tawan, 70, ditemukan orang awam kira-kira 7.30 pagi, selepas dia dilaporkan hilang sejak petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada polis pada 10.54 malam tadi berhubung kehilangan mangsa.

Katanya, berdasarkan maklumat ahli keluarga, mangsa keluar dari rumah kira-kira 5.30 petang semalam, dengan membawa jala untuk menangkap ikan di sungai berhampiran.