KUALA TERENGGANU: Dua institusi kewangan tempatan disaman seorang kerabat diraja Terengganu bagi menuntut semula simpanan berjumlah RM1.99 juta yang didakwa lesap daripada akaun simpanan peribadinya, tahun lalu.
Writ saman sivil tersebut difailkan menerusi dua peguamnya, Alif Danial Ahmad Shahrulnizam dan Mohd. Hazwan Hamidun dari firma guaman, Rafie & Co di Mahkamah Tinggi, di sini semalam.
Plaintif, Tengku Ismail Tengku Ibrahim, 65, menuntut semua wang simpanannya berjumlah keseluruhan RM1,985,065 yang hilang dipulangkan semula oleh dua institusi kewangan terbabit yang dinamakan sebagai defendan.
Ahli perniagaan tersebut juga menuntut ganti rugi am, kos guaman dan faedah daripada kedua-dua defendan berkenaan.









