SEREMBAN: Penetapan syarat simpanan minimum RM15,000 oleh Lembaga Tabung Haji (TH) dapat membantu mengurangkan jumlah pendeposit yang menolak tawaran menunaikan haji pada masa akan datang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli, berkata langkah positif itu juga sebagai persediaan jemaah untuk menunaikan haji terutama daripada aspek kewangan.

"Ini kerana dengan adanya ketetapan seperti itu, jumlah yang menolak (panggilan menunaikan haji) sangat berkurangan dan pada kadar yang tinggi.

"Ia juga mengelak Tabung Haji melakukan perkara berulang, maksudnya buat tawaran, kemudian ditolak dan buat tawaran lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen AI dan Kehakiman Islam Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.