KUALA LUMPUR – Aktiviti harian di Makkah dan Madinah dilaporkan berjalan seperti biasa susulan serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh, Arab Saudi.

Mutawif bebas di Mekah, Ahmad Saiful Maznan Muhamad berkata, setakat ini keadaan di dua kota suci berkenaan kekal seperti biasa manakala urusan ibadah umrah berjalan lancar tanpa sebarang perubahan ketara.

“Jemaah umrah Malaysia yang berada di bawah bimbingan saya sekarang berada dalam keadaan tenang meskipun kebanyakan ahli keluarga mereka di Malaysia bimbang susulan perkembangan keselamatan di rantau Asia Barat.

“Pengurusan perjalanan jemaah umrah ketika ini bergantung pada arahan syarikat penerbangan, khususnya bagi mereka yang menggunakan penerbangan transit atau terjejas akibat penjadualan semula,” katanya ketika dihubungi Bernama Radio dalam program REAKSI dengan topik “Serangan Riyadh: Situasi Semasa di Arab Saudi” hari ini.