KLANG – Memahami dasar keterbukaan terhadap penyanyi luar, band rock Bunkface berharap masyarakat tetap memberi sokongan kepada penggiat seni lokal agar industri muzik tanah air mampu berkembang dan berdaya saing.
Pemain bass, Youk atau nama sebenarnya, Mohd Farouk Jaafar, 37, berkata usaha memperjuangkan karya serta identiti pemuzik tempatan yang turut menjana ekonomi negara dapat diperkukuh menerusi pembabitan semua pihak termasuk peminat muzik.
“Semua orang mempunyai cita rasa tersendiri. Kita raikan perbezaan. Apa pun itu pilihan masing-masing. Tepuk dada, tanya selera.
“Tidak salah kalau kita buka pintu kepada artis luar walaupun penyanyi tempatan sukar tembusi pasaran negara mereka.









