PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon, Azeva Natassha tampil mempersoalkan sikap segelintir pihak yang dilihat lebih mengagungkan produk luar negara berbanding jenama tempatan.
Menurut Azeva, banyak produk keluaran Malaysia di pasaran pada masa kini mempunyai kualiti yang setanding dengan jenama antarabangsa.
“Dari dulu selalu terfikir, kenapa kita lebih pandang tinggi produk luar sedangkan produk tempatan kita sendiri pun banyak yang berkualiti?
“Kadang-kadang kita sendiri yang tidak bagi peluang untuk jenama tempatan untuk berkembang,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Tanpa Rasa Jemu itu turut menyeru masyarakat supaya mengubah persepsi terhadap produk tempatan selain memberikan sokongan kepada jenama keluaran anak Malaysia.








