PETALING JAYA: Laporan media sosial yang mendakwa seorang pelajar universiti rakyat Malaysia ditahan kerana menyeludup empat kilogram (kg) dadah jenis syabu di Indonesia adalah tidak benar dan boleh menimbulkan kekeliruan serta kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesan penularan maklumat berhubung penahanan seorang lelaki berstatus pelajar yang kononnya merupakan rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia di Terminal Feri Teluk Nibung, Tanjung Balai, Indonesia.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati lelaki yang ditahan pada 10 Oktober lalu itu sebenarnya merupakan warganegara Indonesia.









