KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan Perikatan Nasional (PN) untuk mencabar tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang mengeluarkan notis berhubung cadangan pembatalan pendaftaran dan perintah penggantungan semua aktiviti gabungan itu.

Bagaimanapun, Hakim Azizan Md. Arshad tidak membenarkan penangguhan sementara penggantungan semua aktiviti gabungan parti Pas, Gerakan, MIPP, Wawasan dan Pejuang.

Sebaliknya, permohonan inter-parte (kedua-dua pihak) untuk menggantung pelaksanaan notis penggantungan itu ditetapkan untuk pendengaran pada 22 Oktober ini.

Pada tarikh tersebut, persoalan sama ada PN boleh bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada November ini menggunakan logo gabungan itu akan terjawab sekiranya mahkamah membuat keputusan pada hari sama.