TANGGAPAN bahawa ular sawa atau nama tempatan ular sawa batik tidak berbahaya kerana tidak berbisa sebaliknya hanya mengancam mangsa menerusi belitannya, perlu diperbetulkan kerana gigitannya juga mampu menyebabkan kecederaan serius kepada manusia.
Walaupun tidak mempunyai bisa, reptilia dengan nama saintifik MalayoPython Reticulatus itu memiliki gigi tajam yang melengkung ke belakang untuk mencengkam mangsa, sekali gus berpotensi menyebabkan luka tusukan, koyakan kulit dan pendarahan.
Justeru, ketiadaan bisa bukan bermakna gigitan ular sawa boleh dipandang ringan kerana tahap kecederaan bergantung pada kedalaman luka dan bahagian tubuh yang terkena. Dari sudut anatomi, gigi ular sawa bukan berfungsi untuk mengunyah, sebaliknya membantu reptilia itu mencengkam dan menahan mangsa supaya tidak terlepas ketika ditelan.








