LEBIH sedekad vakum daripada sebarang perkongsian muzik, kumpulan rock alternatif, Disagree optimis kembali mewarnai industri tanah air dengan pengumuman konsert dan album terbaharu, Black & White in Colour.
Bagaimanapun, Disagree yang kini dianggotai Zahid, Hamka dan Taa mengakui perubahan teknologi dan cara peminat mendengar muzik pada era kini menuntut mereka untuk lebih aktif menerusi pelbagai platform digital termasuk media sosial.
Malah, Zahid berkata, situasi ketika ini berbeza berbanding mereka mula aktif apabila persediaan membuat persembahan dirasakan lebih ringkas dan tidak memerlukan teknologi serta pasukan besar.
“Ketika kami masih muda, banyak perkara yang dibuat secara mudah sahaja. Semuanya seperti pasang dan terus main. Ketika itu belum ada kandungan media sosial yang perlu difikirkan.









