KUALA LUMPUR: i-City menyusun semula hala tuju komersial CityWalk dengan menyasarkan destinasi runcit itu menjadi hab berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan robotik, selaras dengan usaha mentransformasikan i-City sebagai pusat bandar berasaskan teknologi berkenaan.
Bagi merealisasikan perancangan itu, i-City melantik Savills Malaysia untuk mengendalikan operasi, penyewaan ruang serta penyusunan campuran penyewa di CityWalk, selain memperkukuh tarikan runcit dan gaya hidup bagi memenuhi keperluan komuniti setempat.
Ia sebahagian daripada perancangannya membangunkan i-City sebagai hab bandar AI dan robotik yang diterajui menara kediaman 500 unit, i-Ris, AI Living @ i-City.
i-City dalam kenyataannya hari ini berkata, kerjasama itu akan menggabungkan kepakaran Savills dalam pengurusan runcit dan pembangunan destinasi dengan ekosistem i-City yang merangkumi kediaman, pejabat, hotel, tarikan pelancongan serta inisiatif teknologi.








