SHAH ALAM - Kerajaan Sabah dan Sarawak dicadang memperkenalkan insentif khas RM10,000 bagi menarik doktor dari Semenanjung Malaysia atau negeri lain untuk berkhidmat di dua negeri itu terutama kawasan luar bandar serta pedalaman.Saranan tersebut dikemukakan Majlis Gabungan Presiden dan Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Kementerian Kesihatan Malaysia (MAPSU) sebagai langkah sementara untuk menangani kekurangan tenaga perubatan.Presiden MAPSU, Ajulahin Japin berkata, bayaran pertama sebanyak RM5,000 diberikan kepada doktor terbabit sebaik sahaja melapor diri bagi menampung kos perpindahan serta keperluan awal penempatan."Bayaran insentif kedua sebanyak RM5,000 pula disalurkan kepada doktor berkenaan setelah melengkapkan tempoh perkhidmatan selama tiga tahun."Insentif ini dapat menjadi dorongan kepada doktor dari Semenanjung Malaysia untuk menerima penempatan di kedua-dua negeri ini, sekali gus membantu memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Mengulas lanjut, Ajulahin yang juga Presiden Sabah Medical Services Union berkata, masalah kekurangan doktor di Sabah bukan semata-mata berpunca daripada kekurangan graduan perubatan peringkat nasional, sebaliknya berkait dengan kesediaan doktor untuk berkhidmat di dua negeri berkenaan dan cabaran penempatan, kebajikan serta kos perpindahan.Jelas beliau, kegagalan menangani masalah kekurangan doktor telah lama wujud mengakibatkan masa menunggu berjam-jam di jabatan pesakit luar fasiliti kesihatan."Sebagai contoh, di Jabatan Pesakit Luar Hospital Ranau, Sabah, seorang doktor perlu memeriksa hampir 200 pesakit setiap hari dan Jabatan Kecemasan yang beroperasi 24 jam pula hanya ada dua orang doktor untuk merawat 80 hingga 100 pesakit."Beban kerja sebegini amat berat walaupun dibantu oleh penolong pegawai perubatan. Kesejahteraan rakyat Sabah amat terjejas dan cadangan MAPSU ini perlu diterima secara positif oleh kerajaan negeri," katanya.Bagi memastikan kebajikan jangka panjang petugas kesihatan terjamin, MAPSU turut menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula dasar pencen serta kadar Bayaran Insentif Wilayah (BIW) yang mengalami pengurangan di bawah pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian kerana pakej imbuhan, jaminan kebajikan jangka panjang merupakan antara faktor utama yang boleh mempengaruhi keputusan seseorang doktor untuk menerima dan memulakan perkhidmatan di Sabah serta Sarawak.Di samping itu, Ajulahin menegaskan insentif kewangan sahaja tidak mencukupi tanpa sokongan kemudahan asas seperti perumahan dan pengangkutan yang perlu disediakan secara aktif oleh Jabatan Kesihatan Negeri."Skim ini dicadangkan sebagai langkah sementara dan boleh dikaji semula serta ditamatkan apabila bekalan graduan perubatan tempatan, terutama dari institusi pengajian tinggi di Sabah dan Sarawak mencukupi untuk memenuhi keperluan tenaga kerja kesihatan negeri."Justeru, MAPSU berharap Kerajaan Negeri Sa