KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan platform maklum balas khas di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ditubuhkan bagi mempercepat perkongsian maklumat dan penyelarasan tindakan negara anggota yang terjejas akibat gangguan laluan maritim antarabangsa.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata platform itu bertujuan mempercepat rundingan antara negara anggota serta menyelaraskan langkah memudahkan perdagangan susulan gangguan yang menjejaskan laluan maritim kritikal.

"Malaysia turut menggesa supaya sistem penyelesaian pertikaian WTO dipulihkan dan berfungsi sepenuhnya merangkumi pengoperasian semula Badan Rayuan.

"Malaysia juga mendesak pelaksanaan penuh Perjanjian Fasilitasi Perdagangan (TFA) oleh semua negara anggota berpandukan pengalaman Malaysia yang berjaya mencapai pelaksanaan penuh perjanjian berkenaan," katanya ketika sesi Soal Jawab Menteri di Dewan Rakyat hari ini.