Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik cadang 'Lemon Law' rangkumi kenderaan terpakai dan barangan elektrik untuk lindungi pengguna.KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menyegerakan pembentangan pindaan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) bagi melaksanakan ‘Lemon Law’, dengan liputan merangkumi kenderaan terpakai dan barangan elektrik.
Zahari Kechik (PN-Jeli) berkata, pelaksanaan undang-undang berkenaan penting bagi memberi hak kepada pengguna menuntut pembaikan, penggantian, atau pembayaran balik sekiranya produk yang dibeli mengalami kerosakan berulang.
Menurutnya, ‘Lemon Law’ berbeza dengan waranti biasa kerana ia melindungi pengguna walaupun tempoh waranti masih sah atau sudah tamat.
"Ia sekaligus mewajibkan pengeluar dan penjual bertanggungjawab jika produk itu gagal menepati atau melepasi standard yang dijanjikan," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.







