Gelombang kebangkitan semula kumpulan Inteam membuktikan bahawa genre nasyid masih mempunyai tempat istimewa dalam industri muzik tempatan.

Biarpun, citarasa pendengar berubah mengikut peredaran zaman, Inteam yang dianggotai Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman membuktikan pengaruh mereka belum pudar.

Ia dapat diperlihatkan menerusi Konsert 25 Tahun Inteam Nur Kasih di Unifi Arena, Bukit Jalil pada Februari lalu apabila berjaya menghimpunkan kira-kira 9,000 penonton.

Kejayaan itu bukan sekadar meraikan perjalanan suku abad mereka, malah menjadi bukti lagu seperti Kasih Kekasih dan Setanggi Syurga masih dekat di hati peminat.