KUALA LUMPUR: Perbelanjaan pemasaran tanpa sasaran dan ukuran pulangan yang jelas boleh menjejaskan pertumbuhan perniagaan, justeru syarikat perlu menetapkan bajet khusus bagi memastikan setiap pelaburan membina jenama memberikan hasil yang berbaloi.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif KNKV Group, Prof. Dr. Adam Richman berkata, strategi pemasaran yang berkesan perlu berasaskan keadaan pasaran serta gelagat pengguna, bukannya bergantung kepada andaian semata-mata.
“Setiap perkara yang kita lakukan mesti mempunyai pulangan pelaburan (ROI), manakala syarikat yang beroperasi tanpa bajet ditetapkan mencerminkan pengurusan yang gagal,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan khusus bagi penjenamaan, pemasaran dan platform digital penting supaya setiap aktiviti mempunyai hala tuju yang selari dengan sasaran perniagaan, sekali gus mengelakkan perbelanjaan dibuat tanpa perancangan teratur.









