MELAKA: Semua yang terlibat dalam rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diingatkan tentang pendekatan musyawarah, bukannya berbalas kenyataan di ruang awam.

Ini susulan kenyataan dibuat penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Dr Mohd. Aleef Yusof yang mahu BN menghormati hak Perikatan Nasional (PN) mempertahankan kerusi berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, perbincangan secara profesional perlu diutamakan bagi mengelak pertindihan tuntutan kerusi yang boleh menjejaskan usaha menjalin kerjasama politik.

Penyandang kerusi DUN Paya Rumput itu berkata, soal kerjasama politik dan pembahagian kerusi perlu diserahkan kepada kepemimpinan parti masing-masing untuk dimuktamadkan.