GUA MUSANG – Seorang lelaki warga asing dikhuatiri tertimbus tanah runtuh ketika berada di dalam sebuah rumah kongsi di sebuah kebun sayur di Tanah Tinggi Lojing di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.12 petang sebelum sepasukan anggota bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.30 petang.
Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati, berlaku runtuhan tanah dari cerun setinggi kira-kira 50 meter.
“Hasil maklumat awal, seorang lelaki warga asing dipercayai berada di dalam sebuah rumah kongsi binaan kayu ketika berlaku runtuhan tanah.
“Lokasi kejadian terletak kira-kira lima kilometer dari Pondok Polis Lojing,” katanya ketika dihubungi hari ini.








