Cyberjaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), akan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan, mencegah dan mengurus risiko salah guna kuasa serta penyelewengan secara lebih sistematik dan berkesan.

Perkara itu merupakan antara bidang kerjasama yang dipersetujui kedua-dua agensi, menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang penguatkuasaan, pencegahan rasuah dan pemerkasaan integriti, dalam mendepani cabaran kompleks dalam persekitaran digital.

MCMC menerusi kenyataan memaklumkan pertukaran MoU melibatkan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman, berlangsung di ibu pejabat MCMC di sini hari ini.