PETALING JAYA – Kuching City terpaksa berpuas hati berkongsi mata selepas terikat 1-1 dengan wakil Hong Kong, Kitchee SC dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara AFC Dua (ACL2) di Stadium Taha Ariffin, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan skuad The Cats meraih mata pertama selepas tewas kepada Phnom Penh Crown pada aksi pembukaan, bulan lalu.
Pada perlawanan itu, The Cats hanya menunggu dua minit untuk memperoleh gol pembukaan menerusi kesilapan penjaga gol Kitchee, Pong Cheuk Hei yang gagal mengawal hantaran rakan sepasukan, Callum Beattie sehingga bola masuk ke gawang sendiri.
Namun, kelebihan tuan rumah tidak bertahan lama apabila Kitchee menyamakan kedudukan pada minit ke-14 menerusi rembatan Everton yang menewaskan penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli.







