Menghidupkan kembali nostalgia muzik alternatif tempatan, konsert Disko Dansa Generasiku yang menemukan OAG dan The Times di Odeon KL, Sabtu lalu membuktikan karya yang lahir daripada era kaset, CD dan 'gig underground' masih mempunyai tempat istimewa dalam hati peminat.

Lebih 1,500 penonton pelbagai usia memenuhi ruang Odeon KL dalam suasana meriah, lengkap dengan gaya yang mengimbau zaman kegemilangan muzik indie tempatan.

Sistem bunyi memuaskan serta visual LED yang melatari pentas melengkapkan persembahan itu, sekali gus menghidupkan kembali semangat 'gig' era ketika muzik alternatif menjadi sebahagian daripada identiti generasi muda.

The Times membuka tirai menerusi lagu Pesona Algebra sebelum meneruskan persembahan dengan lagu seperti Khayal Khayalan, Infra Merah, Wanita dan Mawar Liar.