Persiapan mental dan fizikal jadi keutamaan, susunan muzik baharu beri cabaran

KUALA LUMPUR: Penyanyi yang terkenal dengan jolokan Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris, memperhebat persiapan vokal menjelang penampilannya sebagai penyanyi undangan dalam Konsert Tradisional Gema Bumantara di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Langkah itu diambil bagi memastikan beliau dapat memberikan persembahan terbaik, khususnya menerusi lagu Hati Kama yang bakal dipersembahkan dengan susunan muzik baharu pada konsert berskala mega anjuran biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu.

Noraniza atau mesra disapa Kak Ani berkata, beliau masih meneruskan latihan vokal bersama guru vokalnya, Azizul Haqim, bagi menyesuaikan diri dengan susunan muzik berkenaan, selain memastikan persediaan mental dan fizikal berada pada tahap terbaik.