KUALA LUMPUR: PROTON melancarkan PROTON X50 Sport Edition (SE) Serba Baharu dengan 15 penambahbaikan eksklusif pada bahagian luaran dan dalaman yang bernilai RM7,000, namun pelanggan hanya perlu membayar tambahan RM1,999 berbanding varian Flagship standard untuk menikmati pakej berkenaan.
Antara perubahan pada bahagian luaran ialah kemasan serba hitam, rim aloi 18 inci berwarna hitam, skirting hadapan, sisi dan belakang serta lencana Sport Edition.
Bahagian kabin pula menampilkan jahitan merah pada stereng, perehat tangan, kemasan pintu dan tempat duduk, selain sulaman Sport Edition, tikar lantai TPE serta kemasan logam pada ambang pintu.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ir Abdul Rashid Musa berkata, model ini kekal dengan ciri prestasi, teknologi dan keselamatan yang ditawarkan pada varian Flagship.









