KOTA MARUDU: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan sebuah pikap ketika dalam perjalanan menghantar anaknya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Marak Parak di sini pagi tadi.

Kejadian berlaku jam 6.19 pagi menyebabkan Liza Jius, 34, parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anak lelakinya berusia tujuh tahun cedera ringan .

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, berkata siasatan awal mendapati Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 40 tahun itu dalam perjalanan dari Pekan Kudat menuju Beluran, manakala motosikal dinaiki dua beranak mangsa dari Kampung Laguhang, Marak-Parak ke sekolah berkenaan.

"Pemandu pikap itu dipercayai sedang memintas motosikal di hadapannya sebelum motosikal itu membelok masuk ke simpang sekolah dan berlaku pelanggaran," katanya.