Nibong Tebal: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan aktivis Arun Dorasamy atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy berhubung pertuduhan membuat kenyataan yang boleh mendatangkan kegentaran awam menerusi media sosial, tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin memaklumkan perkara itu kepada Majistret Balqis Roslin pada prosiding di Mahkamah Majistret Jawi di sini hari ini.

Susulan itu, mahkamah menetapkan perbicaraan bermula pada 1 Feb 2027 dengan pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil tujuh saksi untuk memberikan keterangan.

Pada 17 Mac, Arumugam, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membuat hantaran di akaun Instagram miliknya yang dilihat dan didengar seorang individu yang boleh mendorong mana-mana orang melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.