Kuala Lumpur: Orang ramai digesa menghentikan penyebaran video lama memaparkan Menteri Dalam Negeri (MDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang melakukan upacara perkahwinan sivil pasangan bukan Islam yang boleh mencetuskan naratif mengelirukan dan salah faham dalam masyarakat.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan di Facebook hari ini berkata, video berkenaan bukan kejadian baharu, sebaliknya adalah sebahagian daripada pengisian Majlis Sambutan Jubli Intan JPN sempena Hari Pendaftaran Negara 2023.
Menurutnya, pihaknya memandang serius tindakan menularkan semula klip video berkenaan, sedangkan perkara berkenaan sudah dijelaskan secara rasmi sejak 25 Oktober 2023.
"Mengitar semula rakaman lama tanpa menjelaskan konteks sebenar, apatah lagi sehingga menimbulkan persepsi yang mengelirukan, adalah tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mencetuskan salah faham dalam kalangan masyarakat," katanya.






