KUALA LUMPUR – Seramai 46 warga asing ditahan selepas polis menyerbu sembilan lokasi dipercayai menjadi pusat kegiatan perjudian dalam talian menerusi Op Dadu Khas Call Centre di sekitar ibu negara, semalam dan hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek yang ditahan disyaki terbabit dalam kegiatan penganjuran perjudian dalam talian selain melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan awal mendapati kesemua tangkapan mengaku terlibat dalam kegiatan penganjuran perjudian dalam talian dengan menyasarkan pelanggan dari China, Korea dan Filipina.
“Mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan tersebut antara satu hingga tiga bulan lalu dengan menerima gaji antara RM2,000 hingga RM3,500 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.








