KUALA TERENGGANU: Misi mencabar Johor Darul Ta'zim (JDT) menuntut benteng pertahanan Terengganu FC (TFC) lebih kebal dan jentera serangan lebih berbisa ketika Nafuzi Zain mahu anak buahnya memburu keputusan positif di laman sendiri.

Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok, ketua jurulatih TFC itu mengakui pasukannya perlu tampil lebih mantap dalam kedua-dua aspek berkenaan bagi memastikan mereka mampu memberi tentangan sengit kepada skuad Harimau Selatan.

Selepas berehat selama tiga minggu, Nafuzi menyifatkan persiapan pasukan berjalan lancar, termasuk mengharungi dua aksi persahabatan menentang Kelantan Red Warrior bagi mengekalkan momentum pemain menjelang pertembungan itu.