BESUT: Dua beranak yang dilaporkan sesat di hutan berhampiran pusat rekreasi kolam air panas La Hot Spring, Hulu Besut di sini sejak kelmarin, ditemukan selamat hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Mustafa Ismail, berkata Adnan Mohamad, 57, dab anaknya, Adam, 25, ditemui pada jam 12.40 tengah hari oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Mustafa berkata, mangsa dibawa keluar dari kawasan hutan selepas diberi bantuan awal dengan diiringi pasukan SAR kira-kira jam 2.40 petang.

"Jarak antara pos operasi SAR dengan kawasan mangsa ditemui kira-kira tiga kilometer," katanya ketika ditemui di Kampung La, di sini, hari ini.