Kuala Lumpur: Penyertaan orang kurang upaya (OKU) dalam pasaran buruh tidak seharusnya dinilai berdasarkan pencapaian angka atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, pendapatan lebih baik dan perkembangan kerjaya.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pendekatan itu penting supaya usaha memperluas penyertaan OKU benar-benar memberi manfaat kepada golongan berkenaan dan tidak berakhir dengan memenuhi sasaran penyertaan sahaja.

Beliau berkata, Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) memberi perhatian kepada usaha meningkatkan penyertaan kumpulan yang kurang diwakili dalam pasaran buruh termasuk OKU, wanita dan pekerja berusia.