HULU TERENGGANU: Sisiknya yang berkilau dengan warna merah memikat menjadikan ikan kelah merah Terengganu antara ikan air tawar bernilai tinggi atau bertaraf ‘kayangan’, malah harganya boleh mencecah RM1,000 sekilogram bagi ikan yang mempunyai warna menarik.
Di sebalik keistimewaan ikan yang sering digelar ‘ikan kayangan’ itu, usaha menghasilkan benih berkualiti bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan pengetahuan, penjagaan rapi serta persekitaran air yang sesuai untuk pembiakan.
Bagi pengusaha benih ikan kelah, Mohd. Azerri Mohd Radzali, 46, dari Kampung Lubok Periuk di sini, penglibatannya dalam perusahaan itu bermula pada awal 2013 selepas mengambil alih tanggungjawab menguruskan ikan berkenaan daripada bapanya yang mengalami masalah kesihatan.








