PARIS: Perusuh memecah masuk kedai di beberapa bandar di Perancis, termasuk premis jenama mewah dan kedai roti, ketika berlangsung protes berhubung kos sara hidup, menurut wartawan AFP dan pihak berkuasa.
Di Paris berhampiran Dataran Republique, cermin hadapan sebuah kedai produk penjagaan kulit pecah sebelum perusuh mencampakkan produk kecantikan kepada puluhan orang yang berkumpul di luar, menurut pemerhatian wartawan AFP.
Perusuh turut membaling telefon bimbit ke arah orang ramai selepas memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi.
Monumen utama di Dataran Republique diconteng dengan grafiti, manakala batu turap di kaki monumen itu dicabut. Sebuah bar bernama La Barrique pula terbakar.








