PETALING JAYA – Malaysia dan Jepun memperkukuh kerjasama pertahanan menerusi lawatan kerja Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke negara itu selama empat hari bermula hari ini hingga 21 Oktober.

Mohamed Khaled berkata, antara agenda utama lawatan itu ialah mesyuarat bilateral bersama Menteri Pertahanan Jepun, Shinjiro Koizumi dan Menteri Luar Jepun, Toshimitsu Motegi.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, hari ini berkata, lawatan itu turut melibatkan majlis menandatangani dokumen bantuan geran di bawah program Official Security Assistance kerajaan Jepun.

Selain itu, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Acquisition, Technology & Logistics Agency serta melawat syarikat pertahanan Jepun, Toshiba.