LONDON – Arsenal menerima khabar positif menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Nottingham Forest malam ini apabila pemain te­ngah, Martin Zubimendi dijangka kembali memperkuatkan pasukan selepas diketepikan akibat kecederaan.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengesahkan, keadaan Zubimendi semakin baik selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan minggu lalu sehingga menyebabkan dia terlepas aksi menentang Lille Rabu lalu.

“Zubimendi kelihatan jauh lebih baik dan keadaannya juga semakin pulih hari ini. Kami mempunyai satu lagi sesi latihan sebelum menilai sama ada dia boleh diturunkan menentang Forest ataupun tidak,” kata Arteta.

Bagaimanapun, Arsenal masih belum dapat menurunkan tiga lagi pemain yang mengalami kecederaan, meskipun perkembangan pemulihan mereka turut menunjukkan petanda positif, termasuk pemain pertahanan, Piero Hincapie.