Kuala Lumpur: Isu berkaitan cadangan memperluas had umur media sosial kepada platform permainan dalam talian antara agenda yang menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat, esok.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang mahu penjelasan daripada Menteri Komunikasi, pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan.

Ini memandangkan platform permainan dalam talian dikatakan mempunyai jumlah pengguna kanak-kanak dan remaja yang tinggi.

Turut menjadi tumpuan ialah pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan berkenaan langkah Menteri Kewangan membantu isi rumah M40 yang tidak lagi layak menerima bantuan bersasar tetapi terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.