TUMPAT: Pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang ditemukan maut di kuarters Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Nilai, Negeri Sembilan, Khamis lalu, disifatkan sebagai seorang yang rajin dan komited terhadap tugas.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AKPS, Senior Komisioner Datuk Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata Allahyarham Norhazwani Ibrahim, 35, yang baru menyertai agensi itu 1 Julai lalu selepas bertukar daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia, menunjukkan prestasi kerja yang baik sepanjang berkhidmat.
"Allahyarham kerap melakukan kerja lebih masa. Beliau seorang pegawai yang sangat bagus, rajin dan komited dengan kerja," katanya ditemui pemberita di kediaman keluarga Norhazwani di Kampung Banjir, Telaga Lanas, Pengkalan Kubor, di sini malam tadi.









